Projek Pemasangan Panel Solar Terapung Kini Di Peringkat Akhir - Mohamad |
SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Projek percubaan pemasangan panel solar terapung di Empangan Sungai Terip di sini, yang dijangka menghasilkan tenaga solar sebanyak tujuh hingga 10 megawatt (MW) kini berada di peringkat akhir pelaksanaan. Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri kini sedang memohon kuota tambahan daripada Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) memandangkan kuota tenaga yang diperuntukkan telah digunakan sepenuhnya. "Kita di peringkat akhir untuk melihat cara mana kerajaan negeri dan syarikat tersebut untuk mengadakan satu kerjasama dan kita akan adakan percubaan di mana lebih kurang 1/5 daripada permukaan Empangan Sungai Terip akan kita adakan solar panel terapung pertama dalam negara kita. "Berkenaan kuota tenaga pula, ia terpulang pada SEDA Malaysia nak beri berapa dan kita sedang minta kuota dari negeri lain yang tidak digunakan," katanya kepada pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, di sini, Rabu. Setakat ini, Negeri Sembilan mempunyai empat tapak loji tenaga boleh baharu yang beroperasi di Pajam, Nilai; Kuala Sawah, Seremban; Bukit Palong, Port Dickson; dan Gemas yang boleh menjana kuasa elektrik sebanyak 32MW. Kesemua loji tenaga boleh baharu tersebut berkeupayaan menyalurkan kuasa elektrik kepada lebih 20,000 buah rumah di negeri ini. "Banyak lagi tempat yang sedang kita lihat yang boleh dijadikan tempat yang berdaya maju untuk mengeluarkan tenaga solar," katanya. Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung pelaksanaan penalti di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. "Bukan kita tidak mahu jayakan dasar ini, tetapi apa yang kita beri ulasan ialah berkenaan pelaksanaan penalti sehingga RM1,000 kepada isi rumah yang tidak mengasingkan sampah mereka akan membebankan rakyat negeri ini, dan itu yang cuba kita elakkan," katanya. Beliau berharap pihak konsesi yang telah dilantik SWM Environment Sdn Bhd (SWM) dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kempen kesedaran pengasingan sisa pepejal kepada penduduk negeri ini sebelum melaksanakan penalti tersebut. Pengasingan sisa pepejal yang dilaksanakan bermula 1 September ini akan dikuatkuasakan sepenuh-nya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Pautan: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1158697 |
Malaysia Sedia Jana Lebih 2,000 Megawatt Tenaga Boleh Diperbaharu Menjelang 2020 |
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menjana lebih 2,000 megawatt (MW) tenaga daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahun 2020 berikutan dua mekanisme baharu yang diluluskan oleh kerajaan, iaitu pemeteran bersih dan solar skala utiliti (USS). Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Datuk Ali Askar Sher Mohamad berkata perkembangan dalam RE menggalakkan sejak pengenalan galakan tarif (FiT) pada 2011, dengan 400 MW atau 40 peratus telah disambungkan kepada grid tenaga solar, daripada sasaran 1,000 MW pada 2015. "Bersama sokongan kerajaan, kami menjangkakan melebihi sasaran 2,000 MW dengan kedua-dua mekanisme ini dan FiT yang sedia ada untuk jaminan tenaga. "Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga arang batu yang kita import sepenuhnya terutamanya dari Indonesia. Tambahan pula, kos solar fotovolta (PV) adalah tetap, jadi kita perlu untuk membawa RE tidak lama lagi, kerana diramalkan subsidi kerajaan akan dikaji semula dan dikurangkan," katanya kepada Bernama. Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar sesi Forum Perniagaan ASEAN 2015 mengenai "Tenaga boleh diperbaharui: Perkongsian Teknologi dan Amalan Terbaik" di sini Selasa. Beliau berkata, tahap minat untuk melabur dalam RE, terutamanya dalam PV solar, amat menggalakkan daripada institusi kewangan disebabkan oleh hasil yang telah terbukti. "Bagaimanapun, sumber-sumber RE daripada sektor biojisim dan hidro kecil masih kurang kerana tidak banyak cerita kejayaan untuk merangsang lebih banyak pelaburan. "Kami sedang berusaha untuk meningkatkan teknologi untuk sumber RE lain dan akan melibatkan diri dengan pelbagai peserta industri seperti kilang minyak, pemilik ladang dan dana asing yang berminat, untuk melihat bagaimana pelaburan boleh dibuat untuk menjana lebih banyak sumber RE di Malaysia," kata Ali. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Catherine Ridu berkata permeteran bersih yang membolehkan pengguna memasang panel PV solar di bumbung premis, akan memberi manfaat kepada mereka, kerana mereka boleh mengawal bil elektrik mereka dalam menjana tenaga elektrik pada waktu siang. "Ini adalah satu mekanisme yang baik yang mungkin bermula tahun depan dan sebaik sahaja kami berbincang dengan pihak berkepentingan berkenaan, iaitu Suruhanjaya Tenaga serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), mengenai rangka kerja dan dasar yang akan dibuat," katanya. Beliau berkata tenaga solar kini telah menjadi pendekatan yang paling popular dalam penggunaan RE kerana ia adalah perubahan paling mudah, berbanding dengan biojisim, biogas dan hidro. "Kami ingin melihat FiT tersedia lebih lagi bagi pemain kecil dan individu. Bagi pemain yang lebih besar yang ingin menubuhkan lebih banyak daripada 1 MW tenaga solar, kami mencadangkan mereka kepada USS," katanya. Beliau berkata SEDA akan terus meninjau kemungkinan lain daripada sumber RE, termasuk daripada sisa pepejal, dengan banyak tapak pelupusan sampah di negara ini tidak dimanfaatkan dan dengan potensi menjana kekayaan menggunakan teknologi yang tepat. Dalam proses itu katanya, ia akan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih untuk generasi akan datang. -- BERNAMA |
No comments:
Post a Comment