Thursday, 1 October 2015

KONSEP DAN ETIKA PERNIAGAAN


KONSEP DAN ETIKA PERNIAGAAN


Pertama: Amanah Dan Benar
Seorang peniaga harus memiliki sifat amanah dan benar dalam apa juga urusan perniagaan, tidak bolah melakukan penipuan dan pembohongan. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, ' Barang siapa menipu kami, maka dia bukanlah daripada golongan kami".
Khalifah `Umar bin al-Khattab pernah menuang susu yang dicampur dengan air dan mengenakan hukuman ke atas penjualnya. Kelebihan orang yang amanah dan jujur ternyata dalam maksud hadis-hadis berikut:
"Dua orang yang berjual diberi pilihan (bagi meneruskan akad jual beli atau membubarkannya) selagi mereka belum berpisah (daripada majlis akad ). Maka jika kedua mereka berlaku benar dan menerangkan (hakikat sebenar pada jualan itu) Allah akan memberkati jual beli mereka, sebaliknya jika mereka berbohong dan menyembunyikan (kecacatan yang terdapat pada jualan itu) nescaya akan dihapuskan keberkatan mereka berdua". (Sunan ad-Darimi: 2/163, at-Tarmizi: 3/515)

"Peniaga/saudagar yang amanah, jujur dan berkelakuan benar (akan ditempatkan) bersama para nabi, Siddiqin, syuhada` dan solihin."

Larangan menipu dapat dilihat dari hadis berikut yang bermaksud:
Diriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah (s.a.w) berjalan melalui seorang yang menjual makanan. Baginda agak tertarik, lalu dimasukkan tangan baginda yang mulia itu ke dalam timbunan makanan itu, tiba-tiba ada benda lembab di bahagian dalamnya. Baginda terus bertanya: "Apakah ini?" Penjual itu menjawab: "Tadi terkena hujan". Kemudian baginda bersabda: "Mengapa tidak engkau letakkan yang basah itu di atas, agar orang ramai dapat mengetahui keadaanya (yang sebenar). Barang siapa yang menipu kami, maka dia bukanlah termasuk dalam golongan kami". (diriwayatkan oleh Muslim)

Kedua: Adil Dalam Timbangan Dan Sukat
Keadilan dalam timbang menimbang dan sukat menyukat merupakan asas kepada perkembangan dan kemajuan perniagaan. Maksud firman Allah (SWT):
"Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak)". (al-Isra` : 35)
"Kecelakaan benar kepada orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan ( gantang dan cupak) dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. (Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi". (al-Mutaffifin : 1-3)

Ketiga: Jangan Memuji Sesuatu Dagangan
Maksud jangan memuji sesuatu barang dagangan yang dimilikinya dengan pujian yang sebenarnya tidak ada pada barang itu.
 

Keempat: Jangan Bersumpah
Janganlah seseorang itu bersumpah atau sesuatu benda yang diperdagangkannya, sebab jikalau sumpah itu dusta semata-mata bertujuan menarik minat pembeli, ia adalah termasuk ke dalam dosa-dosa besar. Dalam hal sumpah palsu ini Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda antara lain seperti berikut:
"Celakalah bagi seseorang pedagang yang suka menyebut (Ya, Demi Allah), atau (Tidak, Demi Allah). Celakalah pula bagi seseorang pekerja yang suka menunda-nundakan kerjanya sampai besok atau besok lusa". (Musnad Firdaus dari Anas r.a)
"Sumpah palsu itu merosakkan dagangan dan menghapuskan keberkatan pendapatan". (al-hadis)

Kelima: Memperlihatkan Kecacatan Barangan Dagangan
Hendaklah seorang peniaga itu menunjukkan semua cacat-cela barang-barang yang diperdagangkannya, baik yang samar mahupun yang nampak jelas. Janganlah ada sedikit pun diselindungkan daripada pembeli. Hal yang demikian ini wajib hukumnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah (s.a.w)yang bermaksud:
"Tidak halal bagi seseorang yang menjual barang dagangannya melainkan harus menunjukkan kecacatan barang tersebut. Tidak halal pula bagi orang mengetahui adanya kecacatan dalam dagangannya itu melainkan mestilah ia menerangkannya". 

Keenam: Ihsan (Berlaku Baik) Dalam Mu`amalat
Allah (SWT) memerintahkan supaya berlaku adil dan ihsan dalah semu hal. Ihsan boleh dipertingkatkan melalui jual beli dengan beberapa cara:
  • Bertolak ansur dan bermanis muka dalam berjual beli.
  • Tidak mengambil untung yang berlebihan. Berihsan waktu meminta dijelaskan hutang dengan cara bertolak ansur atau menggugurkan sebahagiannya tau memberi penangguhan pembayarangnya. Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa meminjamkan satu dinar sampai satu waktu tertentu, maka ia menerima pahala sedekah pada setiap harinya sampai waktu yang ditentukannya tadi. Maka apabila waktu yang ditetapkan itu telah tiba lalu diberinya penangguhan sesudah itu (kerana orang yang berhutang tidak mampu menjelaskan hutangnya) maka ia menerima pahala sedekah setiap hari sebanyak hutangnya itu". (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

  • Bersedia membatalkan jualan (menerima pemulangan barang jualan) dari pembeli yang mengubah fikirannya (tidak jadi beli), kerana Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa suka menerima pemulangan seseorang yang merasa menyesal perihal jual belinya, maka Allah akan memaafkan kesalahannya di hari Qiamat kelak". (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim)

Ketujuh: Niat Yang Baik
Memiliki niat yang baik dalam memulakan perniagaannya. Tujuan utamanya ialah supaya dirinya terhindar daripada menjadi peminta sedekah dan tamak harta orang. Juga supaya mendapat perbelanjaan halal untuk nafkah diri dan keluarganya. Seterusnya untuk melaksanakan fardhu kifayah.

Kelapan : Perniagaan Bukan Penghalang Dalam Melaksanakan Perintah Allah
pasaran dunia tidak harus menjadi penghalang pasaran akhirat; seorang peniaga hendaklah sentiasa mengingati Allah. Bagitu juga dengan balasan pahala dan seksa, syurga dan neraka hendaklah sentiasa menjadi perhitungan. Allah (SWT) berfirman melalui surah al-Jumu`ah, ayat 9 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jum`at, maka besegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jum`at) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)".

Dan lagi firman Allah (SWT) dalam surah al-Nur, ayat 27 yang bermaksud:
"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari (Qiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pendangan".

Kesembilan: Tidak Melakukan Ihtiar
Ikhtiar ertinya menimbunkan harta atau makanan keperluan harian dengan tujuan hendak dijual dengan harga yang mahal apabila barang-barang itu tidak lagi terdapat di dalam pasaran dengan mudah. Ini sudah pasti akan menyusahkan dan memudaratkan orang ramai. Dalam hal ini Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:
"Tidak  melakukan penimbunan atau monopoli harta melainkan orang yang bersalah (berdosa)". Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

"Tidak boleh melakukan kemudaratan ke atas diri sendiri dan juga tidak boleh melakukan tindakan yang boleh memudaratkan orang lain".

"Barang siapa yang monopoli atau menyorok makanan (dengan tujuan) untuk menaikkan harga) empat puluh hari, maka sesungguhnya ia terlepas dari Allah dan Allah juga melepaskan dirinya". (Nail al-Autar: 5/314)

Kesepuluh: Tunaikan Zakat Perniagaan
Sebagai  seorang peniaga muslim, semestinya tidak terlepas daripada membayar zakat perniagaan, apabila cukup syarat-syarat wajib - di antaranya cukup haul dan nisab tidak kurang dari 85 gram nilai emas. Perlu diingat bahawa zakat adalah hak orang fakir bahkan lagi satu ihsan daripada seseorang kepadanya. Ini sejajar dengan firman Allah (SWT) dalam surah al-Zariyat ayat 14 yang bermaksud:
"Dan pada harta-harta mereka (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)".

Kesebelas: Mempelajari Ilmu Mu`amalat Islam
Bagi menyempurnakan perniagaan menurut kacamata Islam, seseorang itu harus mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan sistem mu`amalat yang melibatkannya, kerana melakukan sesuatu amalan dalam keadaan jahil selok bellok hukumnya menyebabkan amalan yang dilakukan tidak mendapat restu dari Allah dan diragui pendapatannya.
Seseorang itu tidak akan mengetahui halal dan haram dalam apa juga tindakan melainkan dengan belajar dan berilmu. Selain daripada itu seseorang peniaga juga harus belajar ilmu pengurusan perniagaan bagi meningkatkan mutu kecekapan dalam mengendalikan perniagaan supaya sentiasa maju dan berjaya dalam lapangan fardhu kifayah ini.

Kedua Belas: Perniagaan Mestilah Dari Sumber Yang Halal Dan Suci
Sebagai seorang Islam tidak harus sama sekali menjalankan perniagaan daripada benda-benda yang najis dan yang haram menurut Islam. Jangan mencari jalan mudah untu menjadi cepat kaya tanpa memperhitungkan sumber perniagaan dan pendapatan apakah ianya halal atau haram. Rasulullah (s.a.w) bersabda yang mafhumnya:
"Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam". (Riwayat Ibn Abd al-Barr)

"Ada seseorang yang kusut masai, berdebu serta sentiasa mengembara dalam berbagai-bagai perjalanan, keadaan makanannya adalah haram, pakaiannya dari yang haam dan dibesarkan dengan kekayaan dari sumber yang haram, lalu ia mengangkat kedua tangannya sambil mengucapkan (Ya Tuhanku, Ya Tuhanku). Bagaimana orang sedemikian itu akan dikabulkan permohonannya?" (Riwayat Muslim)

"Semua daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama dengannya". (Riwayat al-Tarmizi)

Ketiga Belas: Jangan Bermu`amalah Riba
Pengharaman riba tidak boleh dipertikaikan lagi, kerana ia telah disepakati (Ijma`) oleh semua ulama` muhtahidin tentang pengharamannya. Ini berdasarkan firman Allah (SWT) dalam surah al-Baqarah ayat 278-279 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi ) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketauhilah kamu, akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa".

Penutup
Sebagai orang Islam yang beriman dengan Allah dan hari Qiamat adalah perlu sentiasa muhasabah diri sendiri tentang tindak tanduk dan perlakuan hidup seharian agar ianya serasi dan secocok dengan hukum Islam dan tidak melanggar pantang larang dan batas-batas yang ditentukan Allah. Jadikanlah urusan perniagaan dan mu`amalat maliyyah sebahagian daripada amal ibadat dalam Islam.


Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dirahmati, diberkati dan diredai Allah (SWT) seterusnya hidup dan mati kita.



No comments:

Post a Comment